Seorang pelajar tingkatan 4 maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama rakan hilang kawalan sebelum tercampak ke jalan raya.

Nahas berlaku di Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus kira-kira jam 5.30 petang Jumaat.

Mangsa Syakir Shamsuddin, 16, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketika kejadian, kedua-dua remaja berkenaan yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125ZR dari arah Sungai Tong, Setiu.

Motosikal ditunggangi remaja berusia 19 tahun itu cuba memotong sebuah kenderaan. Bagaimanapun ketika cuba memasuki ke laluannya semula, motosikal berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbalik.

Mangsa yang membonceng tercampak dan kepalanya terkena pada rim tayar belakang kenderaan pelbagai guna Kia Carens.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Superintendan Abd Razak Hasan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.