Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terlanggar garaj kereta di Simpang 3, Pejabat Pertanian Ulu Dedap di sini, malam tadi.

Mangsa, Mohamad Nurhakim Aritf, 14 tahun, pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil di sini, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Ulu Dedap.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 7.55 malam.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah padang Pejabat Pertanian Ulu Dedap hendak balik ke rumahnya di Ulu Dedap.

“Sampai di tempat kejadian, motosikal dipercayai hilang kawalan dan terlanggar garaj kereta yang terletak berhadapan simpang tiga.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dedap,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Barudin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang malam tadi dan hasil bedah siasat menunjukkan kematian disebabkan ‘Severe Head Injury Secondary To Road Traffic Crash’.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa tidak mempunyai lesen memandu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.