Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ujar Muhyiddin, dengan termeterainya Perjanjian Tambahan itu, pihak-pihak kepada perjanjian tersebut mempunyai tempoh selama 60 hari untuk menyelesaikan syarat permulaan (CPs) kepada Perjanjian Utama.

Setelah kesemua CPs dipenuhi, Perjanjian Utama dan Perjanjian Jual Beli Saham Puncak Niaga Holdings Berhad akan dikuatkuasakan bagi membolehkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengambil alih Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Muhyiddin bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor Mohd Azmin Ali sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Antara pertikaian yang timbul termasuk status aset Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nenas dan LRA Semenyih di mana kedua-dua aset itu dikatakan milik kerajaan persekutuan, namun telah disenaraikan oleh kerajaan negeri sebagai aset miliknya.

Sebelum ini, Maximus mendesak kerajaan negeri menyediakan aset-aset yang diperlukan oleh kerajaan persekutuan bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.