Dua ahli parlimen Pakatan Rakyat mendakwa kerajaan cuba menghidupkan kembali Ordinan Darurat (EO) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melalui cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA).

Dalam satu kenyataan media bersama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari (DAP) mendakwa rang undang-undang PCA melanggar kebebasan sivil.

Kedua-dua ahli parlimen itu mendakwa, melalui pindaan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengabaikan janji transformasinya dan mencalarkan kreadibiliti beliau melalui tindakan ini.

"Sekali lagi rakyat dijamu dengan tindakan cakap tidak serupa bikin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang pada awal penggalnya menjanjikan “transformasi” dan penghormatan kepada hak asasi manusia dan kebebasan sivil, tetapi kini telah mengabaikan janji transformasinya, dan mencalarkan kredibiliti beliau melalui tindakan ini," kata Zairil dan Steven Sim.

Dua ahli parlimen itu berpendapat pindaan PCA sangat bermasalah atas beberapa alasan antaranya pengenalan semula tahanan pencegahan tidak diperlukan kerana menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, tahanan pencegahan telah dibenarkan dalam kes-kes keselamatan negara.

Kata mereka, walaupun tanpa pindaan, PCA membenarkan reman sehingga 28 hari dan tambahan lagi 28 hari dengan kelulusan majistret.

"Oleh itu, pindaan PCA boleh dilihat sebagai usaha untuk memperluaskan cakupan kuasa penahanan tanpa bicara.

Daripada mengambil jalan mudah dengan menggunakan pendekatan tahanan tanpa bicara, pihak polis perlu memberi fokus kepada menyelesaikan jenayah dalam kerangka sistem perundangan jenayah yang adil," kata mereka.

Pindaan itu juga kata keduanya dianggap memesongkan prinsip keadilan kerana seseorang yang telah dituduh atas sesuatu kesalahan boleh ditahan tanap perlu dibuktikan bersalah.

Dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu juga mendakwa kuasa arbitrari Menteri Dalam Negeri yang wujud dalam ISA telah dipeindahkan kepada satu badan yang dikenali Lembaga Pencegahan Jenayah.

"Lembaga yang dicadangkan ini akan terdiri daripada tiga orang ahli, dengan dipengerusikan oleh seseorang yang “hendaklah menjadi atau telah, atau layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi.”

"Selain pengerusi, akan ada dua orang anggota lain lagi. Walau bagaimanapun, rang undang-undang ini tidak memberikan sebarang perincian kriteria bagi pelantikan kedua-dua ahli ini.

"Ini menimbulkan banyak persoalan – siapa yang akan mengesyorkan mereka dan atas dasar apa?" kata keduanya.

Pindaan itu juga didakwa melanggar hak perundangan dengan tidak membenarkan semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga Pencegahan Jenayah seperti mana yang dinyatakan dalam Seksyen 15A(1).

Namun Seksyen 19A(2) dikatakan bercanggah dengan seksyen awal yang membenarkan semakan kehakiman oleh Mahkamah Tinggi ke atas keputusan Lembaga Pencegahan Jenayah.

"Oleh itu, undang-undang ini bukan sahaja bercanggah tetapi mengabaikan prinsip asas keadilan," kata dua ahli parlimen Pakatan Rakyat itu.