Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) akan menghantar surat rayuan kedua kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, memohon supaya kelonggaran dapat diberikan kepada peladang dan pengilang untuk terus beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata surat rayuan tersebut, mewakili sektor peladangan dan pengilangan yang beroperasi di negeri itu, akan dihantar secepat mungkin sama ada hari ini atau esok.

"Kita faham tujuan penutupan tetapi berdasarkan pengalaman kami di Semenanjung Malaysia, tiada satu kes positif COVID-19 (dicatatkan sektor ini) sejak awal tempoh PKP kerana peladang dan pengilang mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

"Kita boleh beri keyakinan kepada kerajaan Sabah, sekiranya diberi kelonggaran untuk beroperasi, selain daripada satu ladang yang terbabit dengan kes positif COVID-19 itu, kita beri jaminan tidak akan berlaku penyebaran wabak virus itu di kawasan mereka," katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian dalam program temu bual khas, Ruang Bicara di saluran televisyen Bernama TV.

Kerajaan negeri itu setakat ini mengumumkan penutupan sementara semua kilang sawit serta ladang di tiga daerah iaitu Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan sehingga 14 April berikutan wabak COVID-19.

Keputusan tersebut melibatkan kira-kira 100,000 pekerja dan menjejaskan 75 peratus daripada pengeluaran di Sabah, yang merupakan negeri pengeluar minyak sawit terbesar Malaysia.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan Persatuan Pemilik Ladang Malaysia turut menyuarakan kebimbangan mereka mengenai penggantungan sementara ladang-ladang sawit termasuk operasi kilang sawit di tiga daerah lagi.

Mereka menggesa kerajaan negeri membenarkan peserta industri untuk meneruskan operasi penting dan kritikal seperti penuaian, pemindahan tanaman dan pengilangan.

Mohd Khairuddin berkata kebenaran bagi peladang dan pengilang untuk terus beroperasi dalam tempoh PKP akan membantu kerajaan negeri mengurangkan risiko penyebaran wabak COVID-19 di antara pekerja warga asing dengan rakyat tempatan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata SOP ladang dan kilang yang ketat serta pendidikan sosial di tempat kerja hanya akan membenarkan pekerja bergerak dalam ruang lingkup pekerjaan mereka sahaja tanpa didedahkan kepada kawasan lain.-BERNAMA