Penduduk yang selama ini terpaksa menjalani kehidupan dengan bau busuk yang melampau di Taman Pinggiran Delima di sini, bakal reda apabila masalah itu mendapat perhatian pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Susulan laporan yang disiarkan Astro AWANI semalam, pihak MPKj memberi maklum balas bahawa aktiviti pelupusan sisa binaan di kawasan itu serta-merta dihentikan dan tuan tanah tersebut diarahkan untuk membersihkannya.

Jika gagal, tindakan undang-undang akan diambil dengan merampas tanah tersebut.

BACA: Penduduk 'layu' di tasik busuk

“Pihak MPKj telah menutup pusat pelupusan sisa binaan yang beroperasi secara haram. Kami telah menghantar notis kepada tuan tanah dan segala aktiviti di tempat itu telah dihentikan,” jelas Yang Dipertua MPKj, Tuan Mohd Sayuthi Bakar.

Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti punca bau itu adalah daripada tapak pelupusan sampah tersebut yang berdekatan dengan kawasan perumahan.

Selain itu, kerja-kerja menimbus sisa binaan sedang dilakukan.

Tegasnya, proses rawatan air bagi mengurangkan bau busuk sedang dijalankan termasuklah membuang ikan-ikan yang mati.

“Sampel air telahpun diambil bersama dengan pihak Jabatan Alam Sekitar. Sampel tersebut akan dibawa ke makmal bagi menilai kualiti air,”

“Mulai esok, kerja-kerja rawatan air bagi mengurangkan bau busuk akan bermula dengan menggunakan teknik bio enzim,” katanya lagi.

Beliau menjangkakan, pihaknya mampu menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh terdekat.

Semalam, Astro AWANI melaporkan sebuah tasik di Taman Pinggiran Delima tercemar hingga menyebabkan ikan mati dan mengeluarkan bau yang amat busuk.

Penduduk mendakwa, tapak pembuangan sampah yang beroperasi secara haram merupakan punca berlakunya pencemaran air.