Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangka purata harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat lebih RM2,500 satu tan pada tahun ini berbanding RM2,250 satu tan pada 2018.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata prestasi industri minyak sawit Malaysia turut dijangka bertambah baik pada tahun ini dengan pengeluaran MSM diunjurkan lebih 20 juta tan berbanding 19.5 juta tan pada 2018.

"Industri minyak sawit negara mengalami keadaan suram pada 2018 susulan penurunan pengeluaran dan harga MSM," katanya dalam ucapan pada Seminar Unjuran dan Kajian Semula Ekonomi Minyak Sawit 2019 di sini hari ini.

Bertemakan, 'Palm Oil Driving Economic Sustenance', seminar itu merupakan forum tahunan anjuran MPOB untuk penggiat industri berinteraksi dan berkongsi perkembangan terkini.

Lapan kertas kerja mengenai prestasi dan prospek industri minyak sawit Malaysia akan dibentangkan pada seminar itu.

Menurut Mohd Bakke, produk minyak sawit telah meraih reputasi positif sebagai alternatif bebas lemak trans bagi industri makanan di Amerika Syarikat.

"Bahagian import minyak sawit Malaysia ke Pakistan meningkat daripada 20 peratus kepada 25 peratus berikutan lebih banyak olein sawit digunakan sebagai minyak goreng.

"Penanaman kelapa sawit secara komersial telah bermula lebih 100 tahun lalu dan pertumbuhan seluruh rantaian bekalan yang seterusnya telah memainkan peranan penting dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara, selain memenuhi permintaan global terhadap minyak sayuran," katanya.

Beliau juga berkata minyak sawit sebenarnya minyak sayuran yang paling banyak digunakan di dunia sebanyak 70.21 juta tan pada tahun lepas dan menyumbang 30.9 peratus daripada jumlah penggunaan minyak dan lemak global.

Sehubungan itu, Mohd Bakke berkata Malaysia perlu berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi industri kelapa sawit negara dan memastikan bekalan minyak sawit yang lestari untuk dunia.

"Dengan MPOB terus memainkan peranan penting dalam membangunkan dan meningkatkan industri minyak sawit, agensi itu telah membangunkan banyak teknologi baharu, misalnya Tibetan Butter Tea berasaskan sawit, kentang putar dirumuskan daripada sawit dan penkek beku berasaskan sawit.

"Produk ini menyasarkan pasaran baharu dan khusus. Pejabat Serantau MPOB akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan penggiat industri di luar negara untuk meningkatkan kadar penggunaan minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanan," katanya.

Bagi berkembang ke pasaran matang seperti Eropah dan Amerika Syarikat, Mohd Bakke berkata MPOB akan menumpukan kepada produk dengan nilai tambah inovatif seperti phytonutrient sawit dan derivatif oleokimia untuk meningkatkan nilai produk sawit.

Beliau berkata MPOB akan menganjurkan seminar Kesihatan Minyak Sawit dan Pemakanan serta Palm Oil Food Uses (POFU) di China pada tahun ini, untuk membantu merapatkan jurang pengetahuan mengenai minyak sawit Malaysia dengan pengguna di negara itu.