Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) diingatkan supaya tidak 'syok sendiri' sebagai 'orang tengah' yang menyampaikan maklumat dan permasalahan rakyat kepada kerajaan,

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata badan itu perlu lebih efisien dan amanah dalam menyokong usaha kerajaan memenuhi keperluan rakyat secara menyeluruh.

"Kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk memperbaiki infrustruktur bagi keselesaan rakyat tapi apa yang saya lihat melalui tinjauan tadi, jalan berlubang dan sebagainya , tak rasa macam berada di Kuala Lumpur.

Saya rayu kepada MPPWP tolonglah buka mata, tengok keadaan sekeliling dan tolong beritahu pada saya, maklumkan (masalah rakyat) pada kerajaan," katanya ketika merasmikan Program Nur Ramadan Peringkat Parlimen Batu di sini pada Isnin.

Tengku Adnan berkata sikap memegang tanggungjawab sambil lewa secara tidak langsung mencemarkan imej kerajaan sebagai barisan pimpinan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat.

Beliau yang merupakan Setiausaha Agung Umno turut meluahkan rasa kecewa dan bimbang kerana katanya perkara itu juga boleh menyebabkan kerajaan hilang sokongan daripada pengundi.

"Kalau berterusan begini bagaimana BN (Barisan Nasional) mahu menawan semula Parlimen Batu, kita sepatutnya tanya rakyat, lihat permasalahan mereka bukan lihat apa yang berlaku dalam kelompok kita saja," katanya.

-- BERNAMA