Bagi memastikan bencana banjir kilat tidak berulang lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini telah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, kerja-kerja pemeriksaan longkang secara menyeluruh di beberapa kawasan di bawah pentadbiran mereka dilaksanakan bagi memastikan tiada sebarang halangan yang boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat.

“Ia susulan bencana banjir kilat yang melanda di Bandar Puteri, Puchong pada petang Selasa sehingga menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk di beberapa tempat seperti di kawasan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Kampung Sri Aman, Kampung Kenangan, Kampung Tengah, Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Sri Andalas dan Persimpangan Bertingkat Puchong Utama.

“Punca kejadian banjir itu adalah disebabkan oleh penerimaan taburan hujan yang amat tinggi berbanding hari biasa iaitu sebanyak 117mm serta limpahan lumpu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.


Jelasnya lagi, MPSJ telah mengambil tindakan dengan menghantar bantuan awal melalui Pasukan PANTAS MPSJ bagi tujuan pengurusan banjir di lokasi aduan serta membantu kerja-kerja pemotongan pokok tumbang yang telah menghalang perjalanan lalulintas disebabkan oleh ribut dan hujan yang lebat yang melanda.

Terdahulu, laluan berhampiran pusat beli-belah IOI Mall, Setiawalk berhampiran Bandar Puteri menghala ke Puchong Perdana dilaporkan dilanda banjir kilat.

Menerusi video yang dikongsi oleh netizen, beberapa kenderaan juga dilaporkan terkandas akibat air yang melimpah di tengah jalan berkenaan.

BACA: Banjir kilat depan IOI Mall menghala Puchong Perdana

BACA: Paras air Sungai Klang naik punca banjir kilat