Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dijangka dinaik taraf menjadi Majlis Bandaraya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kabinet telah meluluskan permohonan penaiktarafan tersebut pada minggu lalu.

Ujarnya, keputusan itu boleh dianggap sebagai 'bonus' hari raya untuk Pulau Pinang apabila MPSP akan menjadi bandar raya selepas ini.

"Saya juga ada buat pengumuman naik taraf Seberang Perai kepada Majlis Bandaraya dah diluluskan kabinet dan pengumuman peringkat negeri akan dibuat kemudian.

"Saya ingat minggu lepas dapat keputusan kabinet, saya ingat (umum) lepas rayalah. Ya, bonus raya untuk Pulau Pinang," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Ditanya berhubung jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai sama ada akan dinaikkan kepada jawatan Datuk Bandar MBSP, Zuraida berkata perkara itu perlu ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Infaq Perdana Ramadan anjuran Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara di George Town pada Ahad.

Penaiktarafan status itu bakal menjadikan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berstatus bandar raya selepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menghantar permohonan untuk menaik taraf status MPSP kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Disember lepas.