Perkembangan pesat teknologi serta perubahan ekosistem bekerja adalah antara cabaran yang ditempuhi para graduan dalam menghadapi Industri 4.0.

Bagi terus membangunkan dan memartabatkan graduan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) melancarkan program Graduate Employability Industry 4.0 buat julung kalinya bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, pelaksanaan program ini memberikan fokus kepada pembangunan pelajar bagi mengisi sektor pekerjaan di syarikat-syarikat berteraskan teknologi yang berada dalam ekosistem MTDC.

"MTDC sebagai peneraju utama dalam Industri 4.0 mempunyai pelbagai syarikat dari pelbagai industri dalam ekosistem sepetti kesihatan, automasi, teknologi pemakanan dan analisis data.

"Usahawan yang baharu memang sedar bahawa mereka perlu fleksibel. Kami memerlukan pelajar dan graduan kami untuk mengamalkan sikap ini juga.

"Mereka perlu fleksibel untuk menyesuaikan diri dan mempelajari kemahiran baharu kerana bukan semua kemahiran dapat dipelajari di universiti," katanya dalam satu sidang meda selepas perasmian program Graduate Employability Industri 4.0 tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan para graduan yang hadir ke program Graduate Employability Industry 4.0.

Kebolehpasaran graduan

Tambah beliau, 315 graduan yang menyertai program ini telah diberikan pendedahan dan pendekatan terhadap kemahiran yang selari dengan keperluan industri 4.0 sejurus meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat nasional.

"Kami merasakan ada potensi untuk meneruskan program ini kerana ia saling membantu.

"Semakin banyak program ini diadakan, lebih cepat industri 4.0 akan berkembang. Dan apabila industri 4.0 berkembang dengan pesat, banyak pekerja yang diperlukan.

"Oleh itu, ia akan menguatkan ekosistem MTDC di mana syarikat-syarikat kami sedia untuk mengambil graduan-graduan dari universiti-universiti," katanya.

Selepas tamat menjalani program ini, graduan yang berkelayakan berpeluang ditawarkan pekerjaan di industri berasaskan teknologi di bawah MTDC dan rakan strategik yang mewakili pelbagai industri.

Majlis ini menyaksikan penyertaan 315 graduan dan 83 syarikat yang membabitkan bidang automasi, kecerdasan buatan (AI) dan analisis data.