Tutup

MTNg beri tumpuan empat projek utama berkaitan pengurusan Air Kelantan - Azmin

MTNg beri tumpuan empat projek utama berkaitan pengurusan Air Kelantan - Azmin
Mohamed Azmin (kanan) dan Ahmad (dua kanan) mempengerusikan bersama Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan Bil. 02/2019 di Kompleks Kota Darul Naim hari ini. -- fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan menerusi mesyuarat kali keduanya hari ini memberi tumpuan kepada empat isu utama membabitkan pengurusan sumber air seperti banjir dan keperluan air bersih di negeri itu.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata empat perkara yang telah diteliti itu ialah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), projek pembinaan Empangan Lebir, projek hidroelektrik di Nenggiri dan projek Skim Bekalan Air syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Merbau Condong, Machang.
"Kita telah meneliti empat kertas kerja penting itu bagi memastikan Kelantan terus dibangunkan secara mampan dan inklusif selaras dengan gagasan kemakmuran bersama yang diutarakan oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) baru-baru ini yang menjadi dasar ekonomi negara. Kita tidak mahu mana-mana negeri atau wilayah tertinggal dalam arus pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MTNg Kelantan Kali Ke-2 di Bilik Gerakan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Bersama MTNg Datuk Ahmad Yakob.

Mohamed Azmin berkata bagi projek pembangunan PLSB fasa pertama amat penting bagi menangani masalah banjir di Kelantan yang bukan hanya berlaku pada musim Monsun Timur Laut tetapi juga bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Katanya setakat ini kemajuan projek yang bernilai RM458 juta itu telah mencecah 19 peratus iaitu siap lebih awal daripada yang dijadualkan.

Beliau berkata tumpuan juga diberikan kepada projek pembinaan Empangan Lebir di hulu Kelantan memandangkan ia menjadi keperluan utama rakyat dari segi sumber minuman, kegunaan domestik selain untuk menjana bekalan elektrik.

"Keutamaan akan diberikan kepada projek ini walaupun ia asalnya dimasukkan dalam RMK13 kerana ia satu keperluan yang mendesak bagi mengelakkan banjir yang menjejaskan ekonomi Kelantan. Saya akan memaklumkan cadangan kerajaan negeri ini untuk mempercepatkan projek tersebut menerusi RMK12," katanya.

Katanya keputusan itu juga dibuat dengan mengambil kira pandangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berkaitan masalah penanaman padi di Kelantan yang sepenuhnya bergantung kepada bekalan air sungai pada musim banjir dan kemarau.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata pihaknya juga bersedia menimbangkan permohonan AKSB untuk menyiapkan projek skim bekalan air di Merbau Condong, Machang yang terpaksa dihentikan berikutan memerlukan kos tambahan sebanyak RM14.5 juta.

Dalam pada itu mengulas mengenai status terkini pelaksanaan projek strategik Kelantan yang diumumkan dalam mesyuarat pertama MTNg pada Mac lepas beliau berkata beberapa peruntukan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

"Sebagai contoh kerja perolehan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra akan dilakukan dalam suku tahun keempat tahun ini di mana proses tender akan dimulakan," katanya.

Sementara itu Mohamed Azmin berkata pelantikan Menteri Besar Kelantan sebagai pengerusi bersamanya dalam MTNg adalah sangat wajar bagi melancarkan usaha membangunkan negeri itu.

Katanya pelantikan itu akan memudahkan jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan Kelantan untuk saling bekerjasama dalam menyelesaikan masalah serta isu berkaitan projek pembangunan di negeri itu dengan lebih efisien dan berkesan.

-- BERNAMA