Tutup

MTUC harap rundingan telus pindaan akta perburuhan

MTUC harap rundingan telus pindaan akta perburuhan
SOLOMON: Kita perlu lihat secara holistik impak pindaan sesuatu akta. - Gambar fail / Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap mesyuarat jawatankuasa teknikal berhubung pindaan ke atas undang-undang perburuhan bersama Kementerian Sumber Manusia dijadual berlangsung hari ini di Putrajaya diadakan secara telus.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata mesyuarat kali kedua itu memerlukan perbincangan terperinci memandangkan terdapat cadangan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Kerja 1955 memerlukan kajian menyeluruh.
"Kita perlu lihat secara holistik impak pindaan sesuatu akta dan apabila ia merupakan pindaan selepas 60 tahun, sudah tentu kita tidak boleh tergesa-gesa dalam membuat keputusan... kita perlukan masa," katanya kepada Bernama sempena majlis sambutan ulang tahun MTUC ke-70, di sini, malam tadi.

Bernama sebelum ini melaporkan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata mesyuarat tersebut yang dijadual berlangsung Isnin lepas ditangguhkan kepada hari ini atas sebab tertentu.
Beliau berkata mesyuarat tersebut akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan termasuk MTUC, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bagi memperhalusi semua cadangan berhubung pindaan berkenaan.

Majlis sambutan tersebut dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar dan dihadiri lebih 700 warga MTUC.

-- BERNAMA