Seiring sambutan Hari Kebangsaan Ke-62, Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meraikannya dengan cara tersendiri bersama para penumpangnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, lagu kebangsaan, Negaraku berkumandang tepat pukul 12 tengah hari Sabtu di semua hab dan mod pengangkutannya di Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Para pengguna perkhidmatan LRT dan bas Rapid KL menyanyikan lagu Negaraku di hab pengangkutan Prasarana di Pasar Seni, Kuala Lumpur - Foto Ihsan Prasarana

Jelasnya, menjadi kebanggaan kepada Prasarana bersama-sama 1.2 juta penumpangnya meraikan semangat patriotik pada Bulan Kemerdekaan ini.

"Sambutan orang ramai agak menggalakkan. Terpegun juga saya apabila dilihatkan bahawa semuanya terlibat sama. Walaupun kita kata, kita akan menyanyikan lagu Negaraku pada 12 pukul tengah hari, semuanya menyanyi sekali dengan kita.

"Itu menunjukkan sifat yang mulia sekali antara kita semua sebagai rakyat Malaysia," katanya kepada media selepas bersama-sama para pengguna perkhidmatan LRT dan bas Rapid KL di hab pengangkutan Prasarana di Pasar Seni, ibu negara pada Sabtu.


Jelasnya, signifikan kepada sambutan itu juga seiring visi dan misi Prasarana iaitu jaringan dan mobiliti untuk semua lapisan masyarakat, sekaligus membawa erti kebebasan untuk pertingkat jaringan rakyat dan memilih mod pengangkutan awam di negara ini.

"Untuk Prasarana, di mana visi kami adalah jaringan dan mobiliti untuk semua. Ini juga menyatakan bahawa kami perlu memperjuangkan hak-hak penumpang kami.

"Ia sekaligus menunjukkan bahawa mereka boleh menggunakan apa sahaja mod pengangkutan yang dikendalikan, mereka (rakyat) merdeka untuk menggunakan apa-apa pengangkutan awam di Malaysia," katanya.

Justeru, katanya program yang menepati identiti Prasarana sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam untuk semua dijangka akan menjadi acara tahunan Bulan Kemerdekaan.