Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai Kastam selepas dipercayai meminta rasuah bagi memudahkan proses pengeksportan bahan paip serta kemudahan berkaitan paip ke luar negara oleh sebuah syarikat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, maklumat orang awam membawa kepada penahanan suspek.

"Kita (SPRM) akan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana individu sekiranya mereka didapati terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu ini,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan dipanggil sekiranya perlu bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan siasatan.

Suspek berusia 53 tahun ditahan di hadapan sebuah hentian bas di Bintulu, Sarawak pada jam 10.32 petang semalam.

Menurut sumber, perbuatan suspek terbongkar sejurus orang awam membuat laporan kepada SPRM yang mengadu lelaki itu meminta wang berjumlah lebih RM40,000 untuk proses melepaskan barangan eksport.

Dalam operasi itu turut dirampas adalah dua buah telefon bimbit jenis iphone dipercayai milik suspek yang digunakan dalam urusniaga itu.

Suspek direman sehingga 12 Julai oleh Majistret Muhammad Hafiz Muhd Noor mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bintulu.