Mufti Selangor memohon Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya.

Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dalam satu kenyataan berkata Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga akan memohon kebenaran untuk mencelah dalam rayuan tersebut sebagai usaha untuk memelihara agama dan memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini.

"Jawatankuasa Fatwa Selangor turut menyokong tindakan JPN yang masih merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pendaftaran bagi anak tidak sah taraf yang melibatkan orang Islam kerana berkaitan dengan Hukum Syarak.

"...dan sebab itu kita mohon dan mengalu-alukan tindakan JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut ke Mahkamah Persekutuan," katanya.

Mohd Tamyes berkata keputusan membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya itu bertentangan dengan hukum syarak seperti yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman pada 25 Julai lepas membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti "Abdullah" dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

-- BERNAMA