Muhdalena Ahmad, yang melarikan diri daripada tahanan polis di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam, telah ditahan semula di Kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh, Melaka pada 3.05 minit pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan berkata kejayaan dalam tempoh 24 jam itu adalah hasil tindakan pantas polis dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

"Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja lari daripada tahanan yang sah. Suspek ditahan reman sehingga 25 Okt 2014," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana wanita itu boleh sampai ke kawasan rehat dan rawat berkenaan.

Sementara itu beliau berkata, tiga anggota polis iaitu dua lelaki dan seorang wanita turut ditahan untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai membiarkan seseorang lari daripada pengurungan.

Mereka juga ditahan reman dua hari sehingga esok, katanya.

Muhdalena, 30, wanita yang terlibat dengan kejadian amuk di depan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya dua tahun lepas dimasukkan ke HSA pada Ahad lalu kerana bersalin, namun didapati hilang dari hospital itu pada kira-kira 9 pagi.

Beliau sebelum ini merupakan tahanan di Hospital Permai, Tampoi.

Suspek pernah dituduh di Mahkamah Putrajaya, Kuala Lumpur mengikut kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

Pada akhir perbicaraan, suspek dimasukkan ke Hospital Permai atas perintah Mahkamah Putrajaya mengikut Seksyen 348 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) demi penjagaan selamat orang yang dibebaskan.