Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau ada membuat rayuan bagi mengekalkan Datuk Seri Alwi Ibrahim sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jelasnya, ini kerana Alwi mempunyai pengalaman berkhidmat di KDN dan boleh memberikan buah fikiran kepada beliau.

“Ya, itu adalah rayuan saya kerana saya boleh bekerja dengan baik dengan beliau sejak saya masuk ke kementerian.

"Lagipun saya masih baru, saya perlu seseorang yang sudah lama, jadi saya tahu apa yang berlaku di kementerian hari itu dah dipersetujui. Terima kasih kepada pihak yang memberi kelulusan,” kata Alwi.

Mengikut senarai, Alwi antara nama yang tersenarai dalam rombakan besar membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan berkuat kuasa 7 Januari lalu.

Sementara itu, mengulas berkenaan pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang didakwa ada kaitan dengan kroni.

Tegas Muhyiddin, beliau hanya mengikut prosedur biasa dengan mencadangkan nama dan tidak tahu akan pelantikan itu.

“Sebenarnya saya tidak diberitahu lantikan itu. Biasanya bila ada kekosongan di Kementerian, menteri akan diberitahu, kemudian diminta kalau saya ada apa-apa nama.

"Saya tidak tahu ada pegawai lain... bila saya kemukakan nama yang baharu, mereka setuju dengan nama itu,” katanya kepada media.

Khairul Dzaimee diumumkan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen pada Ahad.

Ia mengundang tanda tanya apabila sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN Datuk Jamil Rakon digugurkan daripada dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen.