Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2020 peringkat kebangsaan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda, Kampus Tun Abdul Razak di Trolak, Sungkai, hari ini.

Bertemakan 'Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran', sambutan itu diadakan dalam kebiasaan baharu yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan hanya dihadiri 250 tetamu termasuk 110 peneroka dari 11 wilayah Felda.

Ucapan sulung Perdana Menteri pada sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan itu bukan sahaja akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen tetapi juga melalui penstriman langsung di semua 11 wilayah Felda supaya amanat berharga yang bakal disampaikan dapat diiikuti oleh setiap peneroka.

Lebih menarik, Perdana Menteri akan mengadakan sesi interaktif secara dalam talian bersama empatpejabat wilayah Felda iaitu Terengganu; Segamat (Johor); Jengka (Pahang) dan Alor Setar (Kedah) dengandihadiri maksimum 30 peneroka bergantung kepada keluasan kawasan agar SOP PKPP dapat dipatuhi.

Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan empat anugerah iaitu Pencapaian Peningkatan Hasil Sawit Tahun 2019, Pencapaian Peningkatan Hasil Getah Tahun 2019, Purata Pendapatan Tertinggi Usahawan Felda Tahun 2019 dan Anugerah Keceriaan Kampung Felda Tahun 2019.

Selain itu, Muhyiddin juga akan menyaksikan penyerahan replika kunci projek perumahan generasi baharu Felda Laka Selatan, Changlun, Kedah dan pertukaran perjanjian persefahaman antara Felda dengan beberapa agensi.

Perdana Menteri pada hari ini juga akan melancarkan Lembah Herba Wilayah Trolak dengan fasa pertama tanaman melibatkan lima tanah rancangan di zon Trolak iaitu Trolak Utara, Trolak Selatan, Trolak Timur, Sungai Klah dan Sungai Behrang melibatkan kawasan keseluruhan seluas 59.24 hektar.

Tanaman yang telah dikenal pasti adalah misai kucing, belalai gajah, kacang sacha inchi, roselle serta daun gelenggang dan akan diusahakan secara komersial oleh semua peneroka.

Idea mewujudkan Lembah Herba Wilayah Trolak tercetus daripada tanaman pokok gaharu yang diusahakan oleh anak peneroka, Aminah Md Saad di Felda Trolak Utara menerusi Syarikat Gaharu Lestari yang menghasilkan pelbagai produk berkaitan antaranya minyak wangi, sejadah, sabun dan air teh.

Aminah yang mengusahakan tanaman itu sejak 2012 mempunyai sebanyak 4,000 pokok gaharu yang ditanam di kawasan Kampung Perlok berhampiran Sungai Klah selain di dalam Felda Trolak Utara.

-- BERNAMA