Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menipu rakyat dalam soal pendidikan, termasuk kepada masyarakat India.

Menyifatkan dakwaan sebegitu yang dilontarkan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) sebagai melulu, beliau menarik perhatian bahawa sebenarnya kuota 1,500 tempat matrikulasi untuk pelajar India telah dipenuhi pada sesi pengajian tahun ini dan tahun sebelumnya.

"Kerajaan tidak pernah menipu rakyat, itu satu tuduhan agak melulu, lebih-lebih lagi terhadap komitmen yang telah dibuat kerajaan.

"Jadi, jika beliau nak tahu sama ada komitmen kementerian untuk sediakan 1,500 tempat kepada pelajar India memasuki program matrikulasi dipenuhi, jawapannya ya, ia telah dipenuhi tahun lalu, malah tahun ini juga telah dipenuhkan," kata Muhyiddin pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, menjawab soalan tambahan Kulasegaran yang antara lain mendakwa masyarakat India tidak mendapat manfaat dan tertipu dengan janji yang dibuat kerajaan.

Pada Februari tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersetuju menambah 1,000 tempat kepada pelajar India bagi mengikuti kursus prauniversiti kepada jumlah awal 559 tempat.

Muhyiddin menjelaskan kementerian terpaksa menurunkan peratusan kelayakan bagi memenuhi kuota yang dijanjikan kerana sebahagian daripada mereka yang memohon tidak memenuhi kriteria terutama daripada segi peratusan kelayakan.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau terpaksa menyebut perkara itu bagi mengelak kerajaan daripada dituduh tidak memenuhi janji dan komitmen yang telah dibuat.

"Saya nak sebutkan di sini, kita terpaksa jelaskan bahawa daripada sejumlah beberapa ribu pelajar yang membuat permohonan memasuki matrikulasi, kita sudah tapis, dan sebahagian daripada mereka dikatakan tidak memenuhi kriteria kelayakan.

"Kerana hendak memenuhi kuota, kita terpaksa turunkan peratusan kelayakan yang biasanya antara 92 hingga 95 peratus....ini terpaksa saya sebutkan dalam dewan, kerana hendak memenuhi janji walaupun mereka sebenarnya tidaklah begitu berkelayakan daripada segi tahap kompetensi dan prestasi," katanya.

Menyentuh penyatuan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran sebelum ini, Muhyiddin berkata langkah itu akan memberi kesan besar terutama dalam soal menyelaras dan memperhalusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007-2020.

Muhyiddin berkata penambahbaikan dan penjajaran lebih komprehensif yang bakal dilaksanakan itu membabitkan penekanan terhadap akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, termasuk kajian semula PSPTN dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, PSPTN yang digubal secara komprehensif dan holistik bertujuan memartabatkan pengajian tinggi akan dilaksanakan dalam empat fasa melalui tujuh teras strategik seperti meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti, menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran.

"Teras strategik itu turut meliputi usaha memperteguh penyelidikan dan inovasi, memperkasa institusi pengajian tinggi, mempergiat pengantarabangsaan, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan memperkukuh sistem penyampaian sektor pengajian tinggi," katanya kepada soalan asal Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu).

Beliau berkata 23 Projek Agenda Kritikal telah diwujudkan merentasi tujuh teras strategik PSPTN sebagai pemangkin melonjakkan pengajian tinggi, yang mana pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang telah diwartakan pada 22 Jun tahun lepas adalah antara kejayaan yang diperoleh.

Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan usaha memperkukuh integrasi antara kaum dalam sistem pendidikan telah diberi perhatian khusus dalam PPPM melalui anjakan ketiga dan program-program khusus di peringkat pengajian tinggi serta dalam Projek Agenda Kritikal PSPTN.

"Oleh itu, kerjasama dan sokongan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, latar belakang sosio ekonomi, pendidikan, agama dan bangsa amatlah diharapkan agar aspirasi ini dapat direalisasikan tanpa membelakangkan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan," katanya menjawab pertanyaan Datuk Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu).