Anggota Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau telah dihubungi pihak polis bagi memberi keterangan berkenaan dakwaan mendedahkan rahsia kerajaan di Dewan Rakyat.

Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri bagaimanapun berkata belum ada tarikh ditetapkan untuk beliau memberi keterangan.

"Polis ada panggil, jadual mungkin belum tetapkan lagi... lepas dirunding mereka kata mungkin minggu hadapan," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Beliau difahamkan keterangan akan diambil polis di ibu pejabat Polis Bukit Aman, katanya.

Semalam, Ahmad Husni yang tampil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung isu sama memaklumkan sesi merekod keterangan itu ditangguh ke minggu hadapan. - Bernama