Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyertai Sidang Kemuncak Khas ASEAN khusus untuk membincangkan usaha dan persediaan untuk menangani COVID-19 di rantau ini.

Menurut Wisma Putra, Sidang Kemuncak Khas yang akan berlangsung esok (14 April) dijangka mengeluarkan Deklarasi Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai COVID-19.

“Sidang Kemuncak Khas ini akan membincangkan mengenai usaha dan persediaan bersama ASEAN dalam menangani penularan pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan kepada ribuan warga ASEAN,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Wisma Putra, Sidang Khas itu akan diadakan melalui persidangan video dan akan disertai Ketua-ketua Negara/Kerajaan Negara-negara Anggota ASEAN dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyễn Xuân Phúc.

Pada sebelah petangnya pula, Wisma Putra berkata, Muhyiddin akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga Mengenai COVID-19, juga menerusi persidangan video.

“Sidang Kemuncak Khas tersebut akan turut dihadiri oleh Ketua-ketua Negara/Kerajaan Negara-negara Anggota ASEAN dan Negara Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

“Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi, Setiausaha Agung ASEAN dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus akan turut mengambil bahagian dalam persidangan video tersebut,” menurut kementerian lagi.

Semasa sidang khas itu berlangsung, Wisma Putra berkata, kesemua yang terlibat akan bertukar-tukar pandangan dan meneroka bidang kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19.

“Sidang Kemuncak Khas tersebut juga akan menghasilkan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga mengenai COVID-19,” katanya lagi.