Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini yang akan menyambut perayaan itu esok (Khamis).

Memahami sambutan kali ini diraikan dalam keadaan yang mencabar ekoran penularan wabak COVID-19, beliau berkata perayaan itu pastinya tetap disambut oleh mereka bersama ahli keluarga.

Sambutan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini sudah tentu akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, selain mencegah jangkitan COVID-19 yang sedang mengancam kehidupan normal masyarakat, katanya dalam video perutusan di laman sosial Facebooknya..

"Saya dengan ini mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wesak kepada semua rakan dan rakyat Malaysia yang beragama Buddha yang akan menyambut perayaan itu esok.

"Wesak merupakan masa untuk semua penganut Buddha menyerlahkan nilai-nilai asas iaitu toleransi, kasih sayang dan khidmat kepada manusia seperti yang terkandung dalam kehidupan dan ajaran Buddha.

"Saya doakan semua rakan beragama Buddha menyambut perayaan ini dengan penuh gembira bersama-sama keluarga. Semoga kita semua kekal bersatu dan terus hidup bersama-sama secara aman dan harmoni," katanya

Perdana Menteri berkata perayaan Hari Wesak juga membuktikan bahawa prinsip dan amalan beragama sentiasa dihormati dan dihayati seluruh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA