Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melaksanakan proses pemutihan serta-merta bagi mendaftarkan semua institusi pendidikan agama bukan kerajaan bermula dari pra-sekolah sehingga pra-universiti berakhir akhir tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, antara aspek akan dipertimbangkan MUIP dalam meluluskan permohonan adalah pematuhan keselamatan yang turut merangkumi premis, kurikulum sesuai dan mempunyai kemampuan untuk menjalankan operasi.

Menurutnya, sekiranya institusi pendidikan itu gagal mendaftar, tindakan undang- undang boleh diambil termasuk arahan penutupan institusi berkenaan.

"Kegagalan pemilik institusi itu berdaftar akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 133 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1991 yang denda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.

"Kita tidak mahu mereka yang tidak berkemampuan untuk beroperasi sehingga menyebabkan aspek keselamatan diabaikan dan ada di antaranya mengambil kesempatan untuk mengutip derma yang kita tidak benarkan kecuali mendapat kebeneran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MUIP di sini, hari ini.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan isu keselamatan premis dan bangunan maahad tahfiz serta sekolah pondok di Pahang yang diadakan susulan kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada 14 September lalu yang mengorbankan 23 nyawa.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan serta agensi penguatkuasa boleh mengambil tindakan terhadap institusi yang gagal untuk berdaftar selepas tempoh pemutihan dan ia termasuk menutupnya daripada meneruskan operasinya.

"Kita memandang serius perkara ini dan tidak mahu aspek keselamatan diabaikan sehingga menyebakan berlaku kejadian tidak diingini pada masa depan.

"Antara manfaat sekiranya ia berdaftar adalah ia boleh mendapat bantuan daripada MUIP dan kerajaan contohnya ada memberikan dana kewangan berjumlah RM200 sebulan kepada setiap pelajar yang institusinya berdaftar dengan kita," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pada masa ini sebanyak 538 institusi pendidikan agama bukan kerajaan beroperasi di seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu hanya 333 berdaftar dengan MUIP seperti yang diwajibkan menerusi Seksyen 113 Sekolah Agama Islam Bukan Milik Kerajaan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991.

Beliau berkata, MUIP juga dalam proses untuk memperkenalkan satu kaedah baharu bagi memperkemaskan dan memperhalusi pendaftaran sedia ada untuk dijadikan garis panduan.