Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan telah mengarahkan pihak Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri menyediakan dua kertas siasatan berhubung dengan kejadian koyak Al-Quran dan kes memukul orang awam untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Ini berikutan penemuan cebisan helaian Al-Quran yang kononnya dibakar di sebuah tokong kecil di Pasar Besar, Alor Setar.

Mukhriz menambah, kerajaan negeri telah menerima laporan berkaitan kejadian itu dari pihak polis yang mengatakan cebisan Al-Quran itu bukan dibakar tetapi dikoyakkan oleh seorang lelaki Melayu yang tidak siuman.

Lelaki itu kini bagaimanapun ditahan di wad psikiatrik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk menerima rawatan.

Dalam kenyataan yang sama, beliau melahirkan rasa kesal dengan tindakan tiga individu yang tanpa usul periksa telah mencederakan seorang lelaki lain dan membakar beberapa gerai di sebuah medan selera.

Beliau juga telah mengarahkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk segera membaiki gerai-gerai yang rosak akibat aktiviti liar beberapa individu yang merosakkan gerai berkenaan.

Mukhriz berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin mengenai kejadian tersebut hingga bertindak di luar batasan undang-undang.

Pada Khamis lalu, seorang peniaga di Pasar Besar Alor Setar, menemui cebisan helaian Al-Quran di dalam tong pembakaran berdekatan tokong kecil di medan selera berkenaan selepas dimaklumkan oleh seorang lelaki dan anaknya.

Berikutan itu, pihak polis dan Jabatan Agama Islam Kedah telah datang melakukan siasatan.

Ekoran itu, serang lelaki kurang siuman yang sering berkeliaran di situ telah ditahan di sekitar Alor Setar kerana dipercayai terlibat dengan perbuatan itu.

Dua hari selepas itu, enam buah gerai yang terletak di medan selera berkenaan dibakar oleh beberapa individu dan pihak polis telah menahan dua suspek berusia lewat 20-an untuk membantu siasatan.