Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengutuskan surat kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat bagi memohon ampun dan maaf kerana tidak bersalam dengan baginda.

Setiausaha Akhbar Mukhriz, Mohd Fisol Jaafar dalam satu kenyataan menjelaskan surat itu diutuskan bagi memohon maaf atas kekhilafan beliau itu dan menjelaskan ia tidak menggambarkan sifat santun rakyat Kedah Darul Aman.

"Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir hari ini telah mengutus surat kepada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

"(Ia) bagi memohon ampun dan maaf di atas kekhilafan beliau tidak bersalaman dengan baginda di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang semalam.

"Menteri besar telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaannya sendiri, dan tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah Darul Aman," kata kenyataan itu.

Surat Mukhriz kepada Sultan Ibrahim.

BACA: TMJ kongsi video Mukhriz tidak bersalam dengan Sultan Johor

BACA: 'Mungkin Mukhriz kecil hati dengan TMJ' - Khairuddin

Pada Khamis telah tular video berdurasi 13 saat itu yang menunjukkan Mukhriz tidak bersalaman dengan Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika hadir di Balairung Seri, Istana Abu Bakar untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah.

Tindakan Mukhriz itu mendapat kecaman netizen.