“Mummy, Hakim nak pergi ni.”

Itu kata-kata terakhir Muhammad Syafiq Haikal, 13, dalam perbualan telefon dengan ibunya malam tadi.

Akhirnya, ketika azan Subuh berkumandang, Mashawani Mohamed Shahid, ibu yang sudah kehilangan suami lapan tahun lalu, menerima tiga lagi berita sedih apabila dimaklumkan tiga anaknya rentung dalam kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat di ibu negara.

Syafiq dan adik-adiknya, Muhammad Hafiz Iskandar, 12, dan Muhammad Harris Ikhwan, 11, pergi meninggalkan Mashawani untuk bertemu Maha Pencipta.

Ibu saudara mangsa, Maszaitul Murni Mohamed Shahid, 26, menceritakan kata-kata terakhir oleh anak buahnya kepada ibu mereka menerusi panggilan telefon pada Rabu.

‘’Semalam dia telefon kakak saya dan cakap Hakim nak pergi. Kakak saya tanya nak pergi mana? Hakim kata pergi la.

‘’Kakak saya tanya dia pergi ke balik cuti? Hakim kata, ya la balik cuti sambil tergelak. Itu paggilan terakhir dia,’’ katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, hari ini.


Menurut seorang lagi ibu saudara mangsa, Mas Aliza Ali Bapoo, 22, kehilangan anak saudaranya itu amat dirasai kerana ketiga-tiga mereka rapat dengannya.

“Saya memang rapat dengan dia, apa-apa hal persekolahan dia akan berhubung dengan saya tetapi semalam dia hanya hubungi ibunya,” katanya.

Beliau menyifatkan Syafiq sebagai seorang yang periang dan mereka saling berkomunikasi dalam menguruskan hal-hal persekolahannya.

Malah tiga beradik ini ketika pulang semasa Hari Raya Aidiladha baru-baru ini mula menunjukkan perubahan pada karakter masing-masing.

“Masa balik Raya Haji hari tu, Hafiz ada tanya pak cik saya kalau Hafiz meninggal nanti Hafiz masuk syurga tak? Semua orang terkejut sebab dia tak pernah cakap macam tu.

“Yang anak ketiga pula, Harris dia tidur sambil peluk mak dia. Tak pernah dia buat sebelum ni tapi kali ni masa dia balik cuti sepanjang dia tidur dia peluk mak dia saja.

“Yang pertama, Syafiq dia tak banyak bercakap. Selalu dia akan duduk dengan saya tapi masa cuti ni dia tak banyak bercakap,” kata Mas Aliza.

Tambah Mas Aliza, beliau menerima berita kebakaran pusat tahfiz itu melalui mesej dalam Whatsapp apabila seorang daripada kenalannya kebetulan melalui pusat tahfiz berkenaan dan melihat ia dijilat api.

Kebakaran tersebut meragut 23 nyawa termasuk dua tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan.

Tujuh mangsa dirawat di HKL di mana empat daripadanya mengalami kecederaan serius dan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan ringan.