Penarikan saman bekas ahli UMNO Langkawi, Anina Saadudin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan tindakan yang dibuat atas sebab hilang keyakinan untuk menang.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ia terpulang kepada Anina untuk bertindak sedemikian yang juga dilihat sebagai tindakan untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

"Dia (Anina) biasalah, barangkali dia rasa dia tidak boleh menang jadi dia tariklah balik saman dia pada saya dan Datuk Seri Najib.

"Biarlah dia, kita tidak hendak gaduh," jawabnya ringkas ketika ditanya selepas menghadiri majlis perasmian arca karakter kartun Lat di Laluan Jejak Warisan 2 di sini hari ini.

Semalam, Anina mengumumkan menarik balik tindakan undang-undang yang dibuat terhadap Datuk Seri Najib yang meminta beliau memulangkan semula sumbangan RM2.6 bilion.

Beliau turut menyaman Tengku Adnan dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh kerana memecatnya dari UMNO dan permohonan mengisytiharkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak berpelembagaan.

Anina berkata tindakan penarikannya itu dibuat kerana beliau kini sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan perjuangannya atas kapasiti UMNO sudahpun selesai.

Bagaimanapun beliau menegaskan saman yang dibuat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap Perdana Menteri bagi pelanggaran kewajipan fidusiari akan tetap diteruskan.