Kisah sedih seorang murid tahun enam yang dikatakan tertekan akibat cemuhan orang ramai selepas gagal mendapat MyKad sehingga nekad minum cecair peluntur di rumahnya petang Sabtu mendapat simpati Ketua Pemuda MIC kebangsaan, C. Silvarrjh hari ini .

Silvarrjh yang juga pegawai khas Menteri Besar Perak berjanji akan memastikan pelajar terbabit, mendapatkan MyKad dalam masa terdekat.

Dia juga melahirkan rasa kesal kerana masalah yang dihadapi pelajar terbabit telah dimanipulasikan oleh segelintir ahli politik sehingga akhirnya menjadi isu besar .

“Cuma kerana miscommunication sahaja dan dimanipulasikan oleh segolongan pemimpin pembangkang isu ini dah jadi isu besar sampai hari ini. Sepatutnya kalau seorang politik, kita perlu ada hasrat untuk menyelesaikan masalah rakyat bukan memperbesarkan masalah rakyat dan mengheret mereka ke dalam masalah. “

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menemui Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Perak di Ipoh pada Isnin.

Sehubungan itu, Silvarrjh meminta masyarakat india di negeri itu yang menghadapi masalah berhubung permohonan kad pengenalan supaya menemui beliau di pejabat Menteri Besar Perak untuk diambil tindakan penyelesaian.

Pelajar terbabit dikatakan tertekan selepas diejek beberapa rakannya yang memperlekehkan isu permohonan MyKadnya yang dikatakan tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Perak dengan alasan tidak mempunyai wajah seiras ibunya .

Menurut ibu pelajar terbabit yang berusia 60 tahun, anaknya sempat diselamatkan selepas dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan kecemasan dan kini stabil.