Seorang murid tadika maut dirempuh sebuah kereta selepas terjatuh dari motosikal yang dinaiki bersama ibunya.

Nahas berlaku di Jalan Gong Pasir berhampiran bandar Dungun, pada Rabu.

Mangsa, Muhammad Aeril Akhtar Mohd Rizal, 6, disahkan meninggal dunia pada jam 8.30 malam Rabu setelah bertarung nyawa kira-kira enam jam di Unit Kecemasan Hospital Dungun, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa membonceng motosikal bersama ibunya yang berusia 41 tahun.

Sejurus tiba di lokasi kemalangan, motosikal dinaiki dua beranak itu dikatakan telah melanggar pintu bahagian belakang sebuah kereta yang berada di hadapannya yang dibuka secara tiba-tiba.

Akibat perlanggaran tersebut, ibu mangsa terjatuh di kaki lima jalan tersebut manakala mangsa terjatuh di bahagian tengah jalan sebelum sebuah kereta jenis Perodua Axia yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.

Bagaimanapun ibu mangsa tidak mengalami kecederaan.

Sejurus tiba di lokasi kemalangan, motosikal dinaiki dua beranak itu dikatakan telah melanggar  pintu bahagian belakang sebuah kereta yang berada di hadapannya. - Foto Astro AWANI

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.