Seorang murid tahun empat yang dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Manir, Kuala Terengganu ditemui lemas.

Mayat Ahmad Aqil Fadlullah Ahmad Ruhaimi,10 tahun, ditemui terapung kira-kira 10.30 malam Ahad.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad, mangsa ditemui sekitar jarak 10 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

"Menerusi pencarian pada sebelah malam, kita telah melakukan pencarian di permukaan merangkumi jarak lebih dua kilometer sebelum mengesan mayat mangsa yang terapung berhampiran jeti," katanya kepada Astro AWANI.


Pada Sabtu, Ahmad Aqil Fadlullah dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.

Bagaimanapun, insiden itu hanya diketahui selepas beberapa barangan mangsa termasuk pakaian ditemui di tebing sungai selepas mangsa tidak pulang ke rumah sehingga waktu Maghrib.