Mahkamah Majistret Sibu hari ini membenarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap seorang datuk berusia 53 tahun, dan anaknya berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kes sumbang mahram melibatkan cucunya sendiri.

Majistret Sofia S Sawayan menetapkan reman sehingga 14 September depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut kes pemerkosaan gadis berusia tujuh tahun itu.

Kedua-duanya ditangkap semalam setelah polis Sibu apabila menerima laporan polis daripada ibu mangsa pada 2 September lalu.

BACA: 'Ratah' anak sendiri, bapa durjana dijatuhi hukuman penjara 115 tahun

BACA: Sumbang mahram: 4 sekeluarga bakal mereput 25 hingga 30 tahun di penjara

BACA: Rogol anak kandung, bapa dihukum penjara 54 tahun, 21 sebatan

Kejadian terbongkar apabila ibu mangsa yang berusia 27 tahun dimaklumkan oleh anaknya bahawa dia telah "dinoda" beberapa kali oleh datuk dan bapa saudaranya sejak setahun lalu.

Kejadian dipercayai berlaku di rumah keluarga itu, di sebuah rumah panjang di Sungai Durin, di sini.

Mangsa yang kini dalam Tahun 1 tinggal di rumah datuknya untuk bersekolah manakala ibunya tinggal di Mukah.

Foto Astro AWANI / Rudy Affendi Khalik
Datuk mangsa yang juga seorang penganggur baharu dibebaskan dari penjara pada 2016, selepas menjalani hukuman selama 12 tahun dan lima sebatan untuk kesalahan merogol anaknya sendiri iaitu ibu saudara mangsa pada tahun 2008.

Kes disiasat dibawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan atas kesalahan sumbang mahram.

Lelaki direman bantu siasatan kes sumbang mahram

Sementara itu, seorang buruh kasar berusia 38 tahun turut direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Sarikei di sini, bagi membantu siasatan satu lagi kes sumbang mahram melibatkan anak kandungnya, yang berusia 15 tahun.

Kes tersebut terbongkar sekitar jam 10.35 pagi semalam, apabila mangsa merupakan pelajar Tingkatan Tiga SMK Sungai Paoh, di sini mengadu sakit di bahagian perut kepada warden asrama.

Setelah dipujuk, mangsa menceritakan kepada warden terbabit akan perbuatan jijik bapa kandung memperkosanya.

Warden terbabit kemudian segera membawa mangsa ke Hospital Sarikei sekitar jam 12.40 tengah hari untuk pemeriksaan, sebelum pegawai perubatan di Bahagian Kecemasan Hospital Sarikei menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa diperkosa di rumah keluarganya di sebuah rumah panjang di Sungai Bulat, Sarikei sejak Julai lalu.

Dia ditahan sekitar jam 4.00 petang semalam di pekarangan Wad Kecemasan Hospital Sarikei ketika datang melawat mangsa.