Seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Kandis, Bachok meninggal dunia selepas tercekik buah longan dalam satu kejadian di Kampung Kandis, di sini petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Nor Aina Fariha Mohamed Fadzil meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bachok.

Menurut bapanya Mohamad Fadzil Muhamad dalam kejadian sekitar jam 7 petang semalam mangsa dikatakan telah memakan buah longan atau mata kucing dalam jumlah yang banyak.

"Aina turun bermain dikawasan luar rumah dan naik balik dan meminta sebiji lagi untuk makan, saya menasihatinya cukup lah tetapi beliau terus meminta dan saya memberinya," katanya ketika ditemui di tanah Perkuburan Teratak Pulai disini hari ini.

Katanya selepas memakan sebiji buah longan terakhir itu, Aina tercekik.

Beliau bergegas mendapatkan Aina dan cuba membantu mengeluarkan buah tersebut namun tidak berjaya.

Beliau kemudian membawa anaknya ke Klinik Kesihatan.

Aina mempunyai seorang abang berusia 8 tahun dan seorang adik perempuan berusia 4 tahun manakala ibunya merupakan Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok.

Jenazah Allahyarham Aina selamat dikebumikan sekitar jam 11.30 tengahari tadi.