Mahkamah Persekutuan di Kuching memutuskan terdapat peruntukan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah Sarawak untuk mengendalikan kes murtad.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata, mahkamah sebulat suara mencapai keputusan menolak rayuan empat individu di Sarawak bagi meminta mahkamah sivil mendengar kes murtad mereka dan memutuskan ia tiada merit terhadapnya.

Beliau berkata, mahkamah menolak rayuan itu tanpa kos dan memutuskan isu yang dibangkitkan telah diselesaikan dalam kes-kes mahkamah yang lain.

Katanya, walaupun tiada peruntukan bagi murtad tetapi ada peruntukan atas perkara mengenai tindakan memeluk Islam yang bererti Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa terhadap isu murtad.

Menurutnya, terdapat Seksyen 68 dan 69 Ordinan Majlis Islam Sarawak yang boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah Sarawak untuk mendengar perkara berhubung isu murtad dalam Islam.

Keputusan dibuat lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang, terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Jeffrey Tan serta Tan Sri Ramly Ali.

Murtad Kuching
Para Pendakwah Agama Islam turut berada di Kompleks Mahkamah. - Foto BERNAMA

Semalam mahkamah mendengar penghujahan para peguam tentang sama ada Mahkamah Syariah Sarawak mempunyai bidang kuasa itu kerana tidak dinyatakan dalam Ordinan Mahkamah Syariah 2001 dan persoalan itu dibangkitkan oleh empat individu berkenaan yang memohon perintah mahkamah untuk membatalkan status mereka sebagai beragama Islam dan memaksa Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengiktiraf mereka sebagai beragama Kristian.

Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen meninggalkan lslam secara sukarela dan menganut Kristian sementara Tiong Choo Ting @ Mohd Syafiq Abdullah, keturunan Bidayuh Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin dengan wanita Islam, kemudian memutuskan untuk kembali menganut Kristian selepas isterinya meninggal dunia.

Dua orang lagi Salina Jau Abdullah keturunan Kayan/Kenyah Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin dengan lelaki Melayu Islam, kemudian menganut Kristian semula selepas bercerai, dan Jenny Peter @ Nur Muzdhalifah pula, seorang Melanau Kristian yang memeluk Islam untuk berkahwin seorang lelaki Islam juga memutuskan untuk kembali menganut Kristian selepas bercerai.

Keempat-empat mereka meminta interpretasi Mahkamah Persekutuan terhadap Ordinan Mahkamah Syariah Sarawak 2001, dan menamakan pengarah Jabatan Islam Sarawak, Majlis Islam Sarawak, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan kerajaan negeri sebagai responden.

Beberapa hari sebelum itu, peguam mereka Baru Bian dilaporkan berkata, jika benar Mahkamah Syariah Sarawak tiada kuasa sedemikian maka perkara itu akan kembali ke Mahkamah Tinggi dan jika Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan undang-undang secara afirmatif, rayuan akan ditolak dan perayu akan kembali ke Mahkamah Syariah untu membuat permohonan keluar Islam.

-- BERNAMA