Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman pada 2012 kerana siasatan tertumpu kepada sumbangan politik, demikian menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

SPRM dalam kenyataannya hari ini berkata suruhanjaya itu telah menjalankan siasatan terhadap Musa dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan selanjutnya.

"Walau bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan memandangkan siasatan tertumpu kepada sumbangan politik.

"Dasar Pejabat Peguam Negara ketika itu telah menetapkan untuk tidak menuduh kes yang melibatkan sumbangan politik," kata SPRM dalam kenyataan susulan laporan yang memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta SPRM menjelaskan sebab Musa tidak dituduh sebelum ini.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau percaya bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai alasan tertentu tidak mendakwa Musa dan percaya SPRM harus memberi penjelasan sebab Musa tidak dituduh sebelum ini.

SPRM berkata ia telah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lepas setelah memperoleh maklumat baharu berhubung kes tersebut.

"SPRM telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dikaji semula," kata suruhanjaya itu.

Menurut SPRM, Peguam Negara kemudiannya memutuskan bahawa Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 di mana beliau telah dituduh pada 5 Nov lepas.

-- BERNAMA