Korea Selatan dikenal pasti sebagai pasaran baharu durian Musang King, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak.

Beliau berkata penghantaran percubaan telahpun dihantar ke negara tersebut bagi memberi peluang rakyat negara itu merasai durian Malaysia. Korea Selatan adalah satu lagi negara yang boleh promosikan produk durian ke pasaran negara berkenaan.

"Selepas ini akan disusuli dengan urusan perniagaan durian Malaysia ke negara berkenaan. Itulah kaedahnya apabila kita ingin menembusi pasaran baharu.

"Hingga kini, durian Malaysia telah berjaya menembusi pasaran ke enam negara iaitu Singapura, Hong Kong, China, Australia, Amerika Syarikat dan Indonesia sebelum memasuki pasaran seterusnya iaitu Kanada dan Eropah," katanya kepada pemberita selepas perasmian Kursus Upskilling Pemasaran dan penanaman durian Musang King siri 2 di Institut Latihan Fama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan memberi fokus kepada pasaran ini kerana ia boleh membantu menyokong peningkatan keluaran durian negara, di samping terus mengadakan promosi untuk penjualan buah tersebut dalam pasaran tempatan.

Ahmad berkata jumlah keseluruhan nilai eksport durian pada 2015 ialah RM65 juta melibatkan 25 metrik (MT) dan ia meningkat sebanyak RM74 juta pada 2016.

Tambahnya, nilai eksport durian Malaysia ke China juga telah meningkat kepada RM18 juta pada 2016 berbanding RM1.6 juta pada 2012.

"Pada 2017, nilai pasaran eksport durian tempatan dijangka meningkat kepada RM23 juta dan jumlah itu diunjurkan mencapai RM92 juta pada 2020.

"Durian ini dieksport ke luar negara sama ada dalam bentuk segar, sejuk beku (ulas sahaja) dan pes (isi tanpa biji). Hingga kini, terdapat 19 pusat pemprosesan durian yang memiliki pensijilan AQSIQ China," katanya.

Mengenai kursus itu, beliau berkata ia adalah untuk mendedahkan peserta mengenai potensi pasaran bagi tanaman durian khususnya dari klon Musang King yang kini dilihat sebagai sumber kekayaan baharu negara.

Selain itu, katanya kursus tersebut juga bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam memulakan penanaman durian Musang King, khususnya menerusi kaedah baharu yang dapat mengeluarkan hasil dengan lebih cepat.

-- BERNAMA