Musim monsun timur laut yang mungkin mengakibatkan hujan berterusan sehingga tiga hari berturut-turut diramal melanda Miri mulai November hingga Mac 2019.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) berkata, mulai November hingga Disember 2018, Miri diramalkan menerima jumlah hujan antara 300mm hingga 500mm yang membawa risiko banjir untuk kawasan rendah jika hujan berterusan selama beberapa hari.

"JPBBM telah bersiap sedia menghadapi musim monsun timur laut dengan menyediakan sebanyak 107 pusat pemindahan mangsa banjir yang mampu memuatkan seramai 31,005 orang mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut JPBBM, pusat pemindahan banjir itu terletak di enam kawasan iaitu di Miri, Marudi, Sibuti, Niah, Long Lama dan Bakong.

"Kekuatan pegawai serta anggota pelbagai agensi seramai 509 orang, dua buah helikopter milik Bomba dan Penyelamat Miri, tiga buah lori, 25 kenderaan pacuan empat roda, 15 buah bot dan dua buah ambulans telah bersiap sedia," katanya sambil menambah bilik gerakan bencana banjir di semua daerah siap sedia diaktifkan jika berlaku banjir.

-- BERNAMA