Kerajaan tidak akan memperkenalkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri biarpun banyak pihak mencadangkan agar undang-undang yang dimansuhkan pada 2012 itu diwujudkan semula, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, adalah agak mustahil untuk kerajaan memperkenalkan semula ISA kerana ia bukan suatu perkara yang mudah.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sedia menambahbaik peruntukan undang-undang sedia ada demi kesejahteraan rakyat.

"Saya tidak pikir kerajaan akan mewujudkan ISA itu atas nama ISA. Tetapi mungkin boleh dipinda akta-akta sedia ada atau akta-akta yang bersesuaian, bukan dengan tujuan untuk menahan mereka yang berbeza pendapat dalam politik tetapi saya fikir ia adalah bagi mewujudkan keselamatan di negara kita," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Rela Malaysia ke-42 tahun di Bagan Datoh,hari ini.

Jelas Ahmad Zahid, kerajaan mendengar dan mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak mengenai keperluan ISA itu termasuk pandangan yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kenyataan Dr. Mahathir itu disambut positif oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar itu pada Jumaat yang menyokong penuh cadangan bekas perdana menteri demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negara dapat dikekalkan.

Bagaimanapun beliau akur bahawa Polis Diraja Malaysia hanyalah agensi penguatkuasa undang-undang dan terpulanglah kepada anggota parlimen untuk menentukannya sebagai penggubal undang-undang.