KUALA LUMPUR:Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif COVID-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Ahad.

Jelas kenyataan tersebut, Ahli Parlimen Jeli itu telah menjalani saringan COVID-19 sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur pada pagi Sabtu

"Beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan pada pukul 10.30 malam tadi untuk pemantauan dan keadaannya stabil.

"Pada 1 Januari 2021 beliau telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan keputusannya adalah negatif," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Mustapa memohon maaf di atas kesulitan yang timbul.

"Mustapa memohon maaf di atas kesulitan yang timbul akibat daripada perkara ini dan memohon agar semua pihak berdoa kepada Allah SWT memudahkan urusan kita semua," jelas kenyataan itu lagi.