Semua mesyuarat berkaitan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung pada April ini ditangguhkan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan, penangguhan itu melibatkan tiga mesyuarat yang ditunda pada Jun.

Bagaimanapun, pada Mei ini, sekretariat akan menilai semula tarikh tersebut berdasarkan perkembangan penularan wabak COVID-19.

"Keputusan untuk menunda dibuat selepas rundingan terperinci dibuat dengan dengan pemegang taruh termasuk mempertimbang pengumuman oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkenaan status COVID-19, termasuk perkembangan di peringkat domestik.

"Malaysia percaya, keputusan ini adalah satu keperluan dan perlu dilaksanakan bagi memstikan kesihatan dan keselamatan delegasi APEC dilindungi," memetik kenyataan itu.

Tiga mesyuarat tersebut adalah Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Kedua APEC (SOM2) dan berkaitan; Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan APEC 2020; dan Mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan APEC 2020.

Malah, MITI berkata, Malaysia kekal komited dalam menganjurkan APEC 2020 selain akan terus bekerjasama rapat dengan semua ekonomi APEC untuk melaksanakan tema tahun ini, 'Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran'.