Sistem birokrasi sering dianggap mengambil masa yang lama dan kurang efisien.

myPortfolio, satu sistem panduan kerja untuk penjawat awam, antara usaha kerajaan untuk mengatasi isu kelewatan dalam urusan kerja perkhidmatan awam.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan daya saing negara.

Beliau merujuk kepada kedudukan negara yang melonjak dari tempat ke-24 kepada kedudukan ke-15 dalam senarai 190 negara dari segi “keterbukaan dalam urusan perniagaan” oleh Bank Dunia tahun 2019.

“myPortfolio hendaklah difahami oleh semua penjawat awam. Komunikasi yang efektif melalui perbincangan, penerangan, dan latihan berterusan akan mewujudkan penerimaan dan komitmen untuk melaksanakan pembaharuan yang dicadangkan.

“Kesemua usaha yang dinyatakan tadi tidak lain dari langkah-langkah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan keberkesanan sistem penyampaian,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran myPortfolio di Putrajaya, pada Selasa.

myPortfolio akan membolehkan setiap seseorang penjawat awam tahu apa yang perlu dibuat di dalam melaksanakan tugasnya, sekali gus memudahkan penyelia memantau status pelaksanaan tugas dan mengambil tindakan pembetulan jika berlaku kelewatan.