Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Akademi MyWIN melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang mempunyai kemahiran canggih bidang perniagaan berorientasikan keperluan masa depan dan perkembangan teknologi.

Beliau berkata Akademi MyWIN memberi penekanan kepada dua perkara asas - wanita dan inovasi -iaitu bidang utama dalam ekosistem inovasi negara.

"Inovasi tidak mengira gender dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami percaya dalam mengambil pendekatan holistik memberi sokongan kepada semua segmen dalam masyarakat dan kaum wanita tidak ketinggalan untuk dibantu dalam memenuhi usaha dan impian mereka.

"Satu daripada kumpulan sasaran Akademi MyWIN sudah tentunya usahawan," katanya semasa merasmikan Akademi MyWIN di sini malam tadi.

Turut hadir ialah Pengerusi Akademi MyWIN yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas di Jabatan Pedana Menteri Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Penubuhan MyWIN diluluskan oleh Kabinet pada 2014 sebagai institusi yang memacu inovasi transformatif untuk memperkasa wanita dalam daya kepimpinan dan keusahawanan.

Najib berkata wanita yang menjalani latihan di akademi itu akan dibentuk kemampuan mereka untuk berupaya menyumbang kepada negara dan berjaya di peringkat serantau dan global.

Satu daripada usaha MyWIN ialah menganjurkan program PEAK (Pencapaian, Pemerkasaan, Pemecutan dan Pengetahuan) bertujuan membentuk pemimpin wanita yang akan menjadi tokoh disegani dalam bidang masing-masing.

Perdana menteri percaya program PEAK telah berjaya merubah tahap pemikiran kaum wanita yang menjalani program itu membuka mereka kepada ruang-ruang baharu untuk berjaya,

"Saya berbangga dengan 366 wanita yang memperoleh manfaat daripada program PEAK dan saya juga telah menerima surat terima kasih daripada beberapa daripada mereka," katanya.

"Saya diberitahu terdapat beberapa wanita yang hilang pekerjaan atau meninggalkan kerjaya mereka untuk fokus kepada keluarga dan melalui program PEAK, ramai daripada mereka ini kini menjadi usahawan dan inovator yang berjaya," kata Najib.

Beliau berkata sesetengah daripada mereka telah berjaya merealisasikan impian dengan mempunyai perniagaan sendiri, antara mereka ialah Faridah Halina Zairi, yang sebelum ini menganggur tetapi kini memiliki perusahaan kafe sendri dan mengambil anak-anak muda bekerja dengannya dan yang lain seperti Ku Hasnur Afiza, menerima bantuan dana daripada pelbagai agensi kerajaan untuk menghidupkan idea inovasi mereka.

"Dan bagi wanita seperti Puvanesvari Subramaniam, kini beliau mampu memajukan perniagaan ke tahap lebih tinggi tetapi apa yang lebih ketara ialah bagaimana semua wanita ini menulis menghargai program PEAK yang telah membina keyakinan dan memperkasa mereka untuk menjadi wanita yang membawa perubahan," katanya.

Cerita seperti ini ialah testimoni kejayaan program kepimpinan seperti MYWIN, katanya

Kepada lulusan program PEAK dan juga wnaita muda di bawah program Wanita dan Misi, Najib berharap mereka akan meneruskan kecemerlangan ini dan menggunakan ilmu yang dipelajari dalam MYWIN untuk menyumbang pula kepada masyarakat, katanya.

Perdana menteri berkata Malaysia telah mengorak langkah besar sejak mengumumkan Program Transformasi Ekonomi 2010.

"Ada yang memandang rendah terhadap usaha kita, pihak pembangkang sengaja memutar belit rekod kerajaan tetapi kita membuktikan sebaliknya apabila pertumbuhan suku kedua menunjukkan perkembangan 5.7 peratus.

Yang terbaru awal minggu ini IKEA - satu daripada peruncit perabot terkemuka dunia, mengumumkan akan melabur RM908 juta membuka pusat pengedaran dan pembekalan terbesar serantau di Malaysia, " katanya mengenai kejayaan ETP.

Keyakinan firma seperti ini dan pengiktirafan institusi antarabangsa seperti IMF, Bank Dunia dan agensi penarafan antarabangsa mengenai kejayaan Malaysia, tidak akan menjadi kenyataan tanpa sumbangan kaum wanita, katanya.

Najib memetik Nikkei Asian Review minggu ini "Malaysia telah mencapai kejayaan dalam kemajuan sosioekonomi wanita. Kaum wanitanya menyumbang dua pertiga daripada badan pelajar di universiti awam dan penyertaan pekerja wanita telah melebihi 50 peratus."

Najid berkata sasaran kumpulan wanita MyWIN ialah kaum profesional yang akan mewujudkan generasi baharu inovator wanita dalam sektor korporat selaras dengan usaha berterusan negara untuk mewujudkan lebih ramai wanita memainkan peranan di peringkat pembuat keputusan dalam sektor itu.

"Kita telah membuat kemajuan ketara dalam perkara itu apabila sejumlah 35.8 peratus jawatan pembuat keputusan dalam sektor awam kini dipegang oleh wanita manakala dalam sektor korporat saya bangga menyatakan kita telah mencapai sasaran 30 peratus.

"Kerajaan kini menekankan agenda ini secara lebih agresif kerana seperti yang saya katakan sebelum ini apabila wanita berjaya, kita semua akan berjaya. Kini wanita memegang hanya 16.8 peratus jawatan pengarah dalam 100 syarikat teratas tersenarai di Bursa Malaysia."

Najib berkata seperti yang beliau umumkan pada Invest Malaysia bulan lepas, bermula 2018, kerajaan akan menamakan PLC yang tidak melantik wanita dalam lembaga pengarah mereka.

"Kita serius dalam perkara ini".

Dengan program dan usaha seperti penubuhan Akademi MyWIN, Najib percaya Malaysia akan berada pada landasan betul untuk memperkasa kaum wanita dan meletakkan wanita dan peranan mereka pada kedudukan yang selayaknya.

-- BERNAMA