Negeri Sembilan mencipta rekod dunia baharu bagi 'The Longest Chain of People Clasping Wrist' menerusi rantaian 4,222 orang berpegangan tangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi di sini pada Sabtu.

Rantaian tanpa melepaskan tangan tersebut yang dilakukan selama 1 minit 30 saat itu, mengatasi rekod yang dipegang oleh Pakistan pada 29 Sept 2016 dengan penyertaan 2,950 orang.

Kejayaan Negeri Sembilan itu diumumkan oleh wakil Guinness World Records, Silvai Maloof selepas melakukan penilaian yang merangkumi pelbagai aspek terhadap rantaian tersebut.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili kerajaan negeri menerima sijil Rekod Dunia Guinness daripada Maloof, disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan.

Pada program sama, Mohamad turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Negaraku peringkat negeri, yang disertai oleh 63 orang.

Konvoi 21 kenderaan dari Jabatan Penerangan Malaysia itu akan menjelajah setiap daerah di negeri ini bagi membangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan tanah air dalam kalangan rakyat.

Peserta konvoi juga akan menyampaikan maklumat terkini mengenai dasar-dasar kerajaan secara langsung kepada masyarakat akar umbi.

Konvoi akan berakhir pada 31 Ogos ini.

-- BERNAMA