Kerajaan mencadangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menjadi pusat sehenti kepada pengurusan bencana.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, NADMA akan mengkoordinasi, menerima, melaporkan, dan mengumpul maklumat mengenai bencana serta bantuan tindakan kecemasan.

Langkah itu katanya bagi melancarkan proses pengurusan bencana yang melanda negara.

"Ini adalah koordinasi yang penting. NADMA adalah tempat untuk mengkoordinasikan semua. Sekurang-kurangnya ada pusat itu akan memberikan kesinambungan dan cara untuk melancarkan proses bagaimana gerak kerja kita untuk menangani masalah malapetaka.

"Maka tidaklah ada hazard dan ia melancarkan perjalanan pengurusan dan menangani masalah petaka secara bersama," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) ke-32 yang melibatkan 84 delegasi menghadiri mesyuarat ini termasuk sekretariat Pusat AHA, dan 13 pertubuhan bencana antarabangsa.

Menurut Dr Wan Azizah, cadangan itu akan diserahkan selepas mesyuarat berkenaan.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beri ucapan semasa Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN pada 26 Jun 2018. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beri ucapan semasa Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN pada 26 Jun 2018. - Foto BERNAMA


Dalam pada itu, semasa ucapannya, Timbalan Perdana Menteri berkata, NADMA bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan MERCY Malaysia akan melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran serta kepekaan komuniti dalam menghadapi bencana.

"Selain itu, NADMA sedang bekerjasama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP), pelajar sekolah, dan komuniti untuk mempraktikkan program latihan menghadapi amaran tsunami," ujarnya.