Tutup

Nafas baharu seni khat beralih ke era digital

Nafas baharu seni khat beralih ke era digital
Teknologi digital tidak hanya terhad pada seni khat sahaja, malah boleh digunakan untuk seni kaligrafi lain seperti Cina, India dan Jepun. - Astro AWANI/Hilmi Malik
CYBERJAYA: Isu tulisan khat menjadi buah mulut ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia ketika ini sehingga menjadi polemik yang cukup panjang.

Realitinya, tiada keperluan untuk mensensasikan isu berkenaan kerana khat sinonim sebagai seni tulisan, guna kemahiran tangan atau secara manual.

Seiring dengan perubahan zaman khususnya di era digital, khat kini melalui pemodenan dengan pengenalan teknologi digital di sebalik seni kaligrafi.

Sempena Hari Kaligrafi Sedunia yang disambut pada 14 Ogos setiap tahun, Astro AWANI mendekati seorang penggiat seni khas Saiful Bahari Sudarno.
Menurut Saiful Bahari, peralihan seni khat daripada penghasilan manual kepada digital seperti ini berupaya membantu usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan.

Malah teknik baharu seni ini, kata beliau, menjanjikan kualiti yang jauh lebih baik selain menjimatkan masa.
"Dahulu kita lihat perlunya peralatan khusus seperti pen atau pensel serta dakwatnya tersendiri namun sekarang pada zaman era transformasi ini ia tidak lagi perlu kerana telah pun didigitalkan.

"Antara contoh seni kaligrafi yang telah digitalkan ialah yang dihasilkan secara sulam, nampak mudah tetapi sebenarnya tidak kerana ia memerlukan proses atau penelitian yang terperinci.

"Tulisan khat ini ditranskripsi daripada tulisan tangan menjadi digital. Benangnya disusun sama seperti tekat tapi kita susun secara digital dan dihantar ke mesin yang khas," kata Saiful Bahari lagi.

Saiful Bahari juga berkata, teknologi ini juga tidak terhad kepada seni khat sahaja, malah ia turut boleh digunakan untuk seni kaligrafi lain seperti China, India dan Jepun.

Katanya, peralihan industri itu kepada dunia digital memberi ruang kepada anak muda yang mahir dalam bidang teknologi dalam memperoleh pendapatan.

Sementara mengenai harganya pula, Saiful Bahari berkata, setiap hasil seni ini bergantung kepada reka bentuknya termasuk saiz dan jenis bahannya.


Tag: khat, tulisan khat, digital khat, Saiful Bahari Sudarno, Hari Kaligrafi Sedunia, seni khat, kaligrafi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.