Kemalangan bas ekspres yang meragut 14 nyawa sehari sebelum sambutan Krismas bagaikan siri tragedi membabitkan pengangkutan awam setiap kali musim perayaan.

Nahas 3.40 pagi Sabtu itu, yang berlaku di KM137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Kampung Jayor, Muar turut menyebabkan 16 penumpang lain cedera.

Media melaporkan bas ekspres itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru, dipercayai hilang kawalan lalu terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter mengakibatkan ramai penumpangnya tercampak keluar daripada kenderaan itu.

Justeru itu, pelbagai pihak menyuarakan pendapat dalam usaha mengekang kematian akibat kemalangan.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang dalam analisis beritanya pada Sabtu turut mencadangkan langkah pencegahan seperti melarang bas ekspres melakukan perjalanan semasa 'waktu mengantuk' dan menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang bas.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron ketika dihubungi Bernama menyambut baik cadangan itu.

Beliau berkata cadangan itu dilihat boleh menambah baik sistem keselamatan bas ekspres dan akan membawanya untuk dibincangkan dengan komuniti JPJ.

Bagaimanapun, katanya pihak pengusaha bas boleh mengambil inisiatif dengan menyediakan kemudahan tali pinggang keledar walaupun langkah itu belum diwajibkan.

Mengenai cadangan supaya bas ekspres tidak melakukan perjalanan semasa 'waktu mengantuk', Nadzri berkata perkara itu pernah dibincangkan namun tidak dapat dilaksanakan berikutan permintaan pihak industri dan pengguna.

Sementara itu Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) Tan Sri Lee Lam Thye berkata kerajaan perlu menyegerakan penubuhan badan siasatan profesional dikenali sebagai Lembaga Keselamatan Pengangkutan Awam (ATSB) bagi menyiasat kes-kes nahas melibatkan pengangkutan awam.

Lee yang juga Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) berkata badan itu haruslah dianggotai jurutera, bekas anggota keselamatan trafik dan ahli akedemik.

"Badan bebas ini perlu dianggotai oleh golongan profesional yang boleh memberikan pendapat dan mampu memberi idea dan penyelesaian secara terus kepada Parlimen," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Bas SeMalaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali berpendapat cadangan melarang perjalanan pada waktu malam perlu diteliti sepenuhnya sebelum dikuatkuasakan.

Beliau berkata sesi perbincangan melibatkan wakil kerajaan, pemain industri, pakar bidang berkaitan serta pengguna perkhidmatan bas ekspres perlu diadakan bagi menjaga kepentingan semua pihak.

"Seperti pemasangan tali pinggang keledar di kerusi penumpang, kebanyakan bas baharu sudah mula dilengkapi kemudahan itu tetapi, bagaimana caranya bagi pengusaha memastikan penumpang menggunakannya sepanjang perjalanan," katanya.

Mohamad Ashfar berkata sekiranya cadangan pemasangan tali pinggang keledar itu dilaksanakan, satu undang-undang khas perlu dirangka bagi memastikan penumpang menggunakan alat keselamatan itu.

Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia Tajudin Mohd Yunus pula berpendapat cadangan menghentikan operasi perjalanan bas pada waktu lewat malam adalah tidak selari dengan permintaan pengguna.

Katanya kebanyakan penumpang lebih suka untuk menggunakan perkhidmatan bas pada waktu malam terutama melibatkan perjalanan jauh seperti perjalanan Kuala Lumpur ke Kota Bharu serta Kuala Lumpur ke Alor Setar.

"Berkenaan perjalanan semasa 'waktu mengantuk', ini berkaitan dengan soal kecergasan pemandu bas dan ia adalah tanggungjawab pengusaha dalam skop menyediakan satu perkhidmatan yang selamat serta efisien untuk penumpang mereka," katanya. -- BERNAMA