Siasatan berhubung nahas pesawat Eurocopter AS350 akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) yang diketuai Kapten Datuk Yahaya Abdul Rahman.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, misi mencari dan menyelamat (SAR) buat masa ini diketuai oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM ) dan Jabatan Pertahanan Awam bagi memberi tumpuan kepada kawasan antara Simunjan dan Betong.

IKUTI LAPOR LANGSUNG NAHAS HELIKOPTER DI SINI


“Setakat ini usaha SAR telah menemui serpihan helicopter di Sungai Batang Lupar terdiri daripada, bilah pemutar, life raft, kerusi, pintu dan sebahagian dari dinding badan helikopter.

“Kesemua waris mangsa telah dihubungi dan diterbangkan ke Kuching pada tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Misi SAR pada Jumaat telah berjaya menemui mangsa pertama tragedi helikopter, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon selepas helikopter yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Khamis.

Jasadnya ditemui di kawasan pencarian awal helikopter terbabit di Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau pada Jumaat.

Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Haron dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu.