Di saat rakyat Sarawak sedang bersedia untuk membuat pilihan hala tuju masa hadapan mereka, tragedi melanda.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, mayat Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon salah seorang mangsa nahas helikopter RPC6828 semalam, ditemui.

Nasib enam penumpang yang lain termasuk juruterbang, setakat ini belum diketahui.

Selain Noriah, helikopter yang dalam perjalanan dari Betong ke Kuching turut membawa suami Noriah, Asmuni Abdullah, Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun, dan juruterbang warga Filipina Rudolf RexRagas.

Laman sosial menjadi medium paling utama untuk menyampaikan rasa terkejut, simpati dan takziah.

Bukan sahaja anggota masyarakat, malah ahli-ahli politik dan kenamaan juga tidak ketinggalan meluahkan rasa simpati termasuklah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.