Pemandu treler yang didakwa menyebabkan lapan maut termasuk enam sekeluarga rentung dalam kemalangan di kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Ahad lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jelebu hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya.

Tertuduh, Norzailan Omar, 44, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut pertuduhan, Norzailan didakwa memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian tentang segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta lalu lintas yang boleh dijangkakan atau mungkin ada di jalan itu.

Dia didakwa menyebabkan kematian Wan Mohd Fauzi Wan Mohd Ibrahim, 52; Masnoraida M.Yussof, 44; Wan Mohd Muhaimin Wan Mohd Fauzi, 21; Wan Nur Athira Wan Mohd Fauzi, 18; Wan Muhammad Ammar Haziq Wan Mohd Fauzi, 13; Wan Nur Aleesya Wan Mohd Fauzi, 7; Osman Mohamed Taip, 31 dan Rosniza Othman, 32.

Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda minimum RM5,000 hingga RM20,000 serta lesen memandu digantung selama tiga tahun.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood dan Timbalan Pendakwaraya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh meminta dibenarkan ikat jamin paling rendah kerana mahu menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan ke mahkamah serta lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 21 Julai untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian Ahad lepas, kemalangan yang melibatkan sebuah Proton Exora, Perodua Myvi, Toyota Vios dan treler menyebabkan lapan orang daripada dua keluarga terkorban manakala seorang lagi cedera.

Nahas itu menyebabkan Proton Exora yang dinaiki enam sekeluarga, terbakar sepenuhnya dan kesemua mangsa ditemukan rentung.

Dua lagi yang terkorban ialah pemandu dan penumpang Perodua MyVi iaitu Osman dan Rosniza, manakala anak mereka Muhammad Alifthaqif Osman, 3, mengalami kecederaan.

Kemalangan yang melibatkan empat kenderaan itu, dipercayai berpunca daripada tindakan treler yang cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi gagal.

Pemandu treler dan pemandu Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA