Ayah kepada juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjadi mangsa nahas pesawat TUDM yang terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth semalam berkata bahawa beliau mengalami mimpi buruk sehari sebelum berlakunya kemalangan tersebut.

M. Chellam, 72, bapa kepada mendiang Mejar C. Kayamboo, 45, memberitahu Astro AWANI hari ini bahawa beliau melihat anaknya dilitupi kain sarung bersama kelibat seorang lelaki terbaring.

Terkejut dengan mimpi itu, dia menceritakan perihal tersebut kepada isterinya namun isterinya cuba untuk tidak terlalu memikirkan mimpi tersebut dengan beranggapan bahawa ianya sekadar mainan mimpi.

Mengikut fahaman Hindu, mimpi seumpama itu pada kebiasaannya merupakan satu petanda yang tidak baik.

BACA: Lembaga Penyiasat TUDM akan kenal pasti punca kemalangan pesawat

“Saya tersedar dari tidur dan memberitahu isteri saya mengenai mimpi buruk itu.

"Di dalam mimpi itu, saya sedang memakai kain sarung dan ianya bukan tanda yang baik. Saya memasuki sebuah kedai dan melihat seorang lelaki (juga memakai kain sarung) sedang terbaring,” jelasnya kepada wartawan selepas majlis memberi hormat di kediamannya di Taman Sri Nibong.

BACA: Keluarga juruterbang TUDM harap siasatan terperinci dijalankan

Chellam juga berkata bahawa keluarganya terkilan kerana tidak dapat menyambut harijadi anaknya yang ke-45 semalam.

Kali terakhir dia menghubungi mendiang Kayamboo, dia sempat memberi ucapan harijadi dan meminta anaknya untuk menjaga diri dan rehat secukupnya. dia juga berjanji untuk menyambut harijadi bersama namun hajat Chellam tidak kesampaian.

Suasana bertukar hiba, apabila anak Kayamboo turut menunjukkan hadiah yang telah disediakan untuk ayahnya.

Mendiang Mejar Kayamboo meninggal dunia dalam nahas tersebut apabila sebuah pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T terhempas pada 5.18 petang, Rabu.

Tiga yang lain termasuk pembantu juruterbang dan dua pegawai TUDM mengalami kecederaan dalam nahas tersebut.

Mendiang meninggalkan seorang balu, S.Usha dan empat orang anak berumur antara 12 dan dua tahun.

Majlis hari ini dihadiri seramai 100 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, rakan rapat dan rakan sepejabat.